Tuesday, November 27, 2012

Besar


i-

Satu binaan yang besar terhasil dari elemen-elemen yang terlihat kecil.

Penumpang gerabak ini, impiannya mahu melihat Islam kembali berada di atas. Kembali membina peradaban, menjadi rujukan dunia. Bermula dengan sekecil-kecil bulatan atau petak yang pada pandangan rata-rata manusia belum membuahkan hasilnya, sesungguhnya Allah lebih mengetahui yang kita mahu membesarkan jiwa, agar tidak lagi terkesan dengan hal-hal yang sepele. Agar dari semata-mata rasa tahu kepada mampu untuk menjadi lebih baik.

Malah, menjadi yang terbaik.

Sebelum, benar-benar layak untuk mengangkat kaki ke tangga seterusnya.

Sebab, matlamat harus jelas.
Tangga kedua cuma satu alat, untuk mencapai matlamat yang paling besar.
Redha dari Allah.

ii-

Membaca kisah Lelaki Penggenggam Hujan, jelas cinta itu tidak bermaksud memiliki. Betapa besar jiwa seorang Salman saat pinangannya ditolak. Betapa Syed Qutb tidak dilemahkan oleh cinta. Saat dipenjarakan selama berbelas tahun, diizinkan Allah mampu untuk menulis Tafsir Fi Zhilalil Qur'an. Sebesar itu jiwanya. Emosinya dihalakan kepada arah yang tepat. Meski cinta ditolak tidak duduk terus-terusan menangisi diri, tidak lemah tanpa cinta. Malah beliau syahid di tali gantung sendirian.

Mereka manusia-manusia besar, dengan misi dan visi besar yang jelas.

Cukuplah Allah bagi mereka.
Mereka benar-benar memaknakan cinta, bahawa cinta juga merupakan suatu alat, bukan matlamat.

iii-

Cerita-cerita dongeng yang disogokkan kepada anak-anak kecil, banyak yang berkesudahan,

"And so, they live happily ever after."

Kerana di situ, cinta diletakkan sebagai matlamat. Sedangkan bagi kita Muslim, bahagia yang kekal abadi itu cuma wujud di Jannah.

Belum cukup dengan itu, apa yang dihidangkan pada kaca televisyen, bahkan boleh ditonton secara online, terus-terusan dengan cinta yang murah. Sampai sahaja benakku jadi senak dengan kisah yang tidak membangun jiwa. Akalku jadi lapar dengan cerita yang menginspirasi.

Aku mahu generasiku tahu, bahawa hidup tidak cukup sekadar cinta.
Kerana, Allah memilih kita untuk menjadi manusia, dengan dua tugas besar terletak pada pundak kita. Yakni menjadi 'abid hamba-Nya yang taat juga khalifah pemakmur bumi.

iv-

Aku masih belajar untuk mempunyai jiwa yang besar.


No comments: