Pendakian tarbiyah.
Allah Yang Maha Membolak-Balikkan hati, menggerakkan hati untuk dekat dengan Dia dua tahun lepas. Mulanya dengan Qur'an, kemudian dengan solat, kemudian dengan aurat. Masih lagi tercari-cari. Apa, mengapa, bagaimana.
Allah Yang Maha Menemukan, menemukan dengan orang-orang yang membantu ke arah itu. Yang men-DF diri tanpa disedari. Masih lagi kabur-kabur.
Bermula pertengahan tahun lepas mula faham sedikit demi sedikit, makin mencari tapi tak juga kunjung tiba, hanya kecewa yang dijumpai. Lalu diuji dengan satu perkara yang menambah beban pada pendakian.
Tidak sedar yang beban itu hanya menyukarkan pendakian, lalu dibiarkan sahaja. Masih lagi mencari. Sedikit, sedikit Allah beri. Meski terkadang ada hela berat yang dilepaskan, masih lagi meneruskan pendakian. Makin lama makin jelas. Tak pernah terdetik untuk berpatah balik. Sampai suatu masa disedarkan, jahihiliyyah itu hanya menyukarkan pergerakan kamu, membuat langkah kamu makin berat! Kata seorang akhawat.
Lalu keputusan pun dibuat, jahiliyyah dibuang. Hati dikeraskan tanpa perasaan kerana tahu perlu menyambut tangan yang menghulur meminta untuk dibantu, hati yang meminta untuk disentuh.
Bilamana sibuk memikirkan orang lain, takkan terasa sakitnya diri sendiri.
Ibarat seorang ibu, melihat rumahnya kebakaran dan si anak berada di dalam rumah. Saat itu, tiada apa yang di fikiran melainkan mahu merangkul anaknya dan dibawa keluar. Lalu sang ibu merempuh api, tanpa menghiraukan diri. Hanya untuk anaknya. Kemudian bila selamat membawa anak keluar, dia terduduk, baru sedar tubuhnya melecur, calar-calar. Baru sedar sakitnya dia. Sebelumnya hanya memikirkan orang lain.
Begitu lah. Mahu jadi yang begitu. Yang lebih memikirkan orang lain sebelum diri sendiri. Ada bisik-bisik yang mengatakan kejamnya dengan berbuat begitu, dengan membuat keputusan begitu, tapi lebih kejam kalau dibiarkan jahiliyyah terus sebati dalam jiwa. Yang hanya mengganggu ruang fikir. Belum masanya lagi. Insha Allah Allah akan gantikan dengan yang lebih baik.
Pendakian yang sebenar baru bermula. Allah buktikan bilamana kita membuang jahiliyyah, Dia akan bantu untuk melajukan pergerakan. Dulu rasa keseorangan, rasa beban, rasa payah, rasa lelah. Kemudian Dia jumpakan dengan akhawat, kakak-kakak di lokaliti ini, terasa seolah Dia berkata,
"Zahidah, kamu tidak keseorangan, ini mereka, yang Aku kurniakan untuk kamu hargai dalam kamu meneruskan langkah."
Allah.
Terima kasih Allah.
Alhamdulillah.
--hari ni ada test physics, test chemistry, quiz bio. tapi entri ni ditulis ibaratnya sebentar lagi ada test karangan bahasa melayu. oh. saya budak sains yang jiwanya pada bahasa dan seni.
Mohon doa dari kalian yang membaca!
No comments:
Post a Comment